Mesyuarat Polisi BoC: Kekal Hawkish atau Neutral?

Dengan tumpuan terarah kepada data NFP yang bercampur-campur dan juga data inflasi US pada minggu ini diikuti mesyuarat polisi ECB (Khamis) dan FOMC (16 Jun). Canada Dollar (CAD) merupakan salah satu matawang yang dilihat berpotensi bergerak rancak pada minggu ini. Bank of Canada (BoC) dijangka akan mengadakan mesyuarat polisi matawang pada hari Rabu dan keputusan dijangka akan diumumkan pada jam 10 malam Malaysia.

Pada April lepas, BoC merupakan bank pusat utama yang pertama mengumumkan mereka memotong kadar peruntukan untuk program Quantitative Easing (QE) mereka. BoC mengurangkan jumlah peruntukan untuk pembelian aset kepada CAD$3 bilion seminggu daripada peruntukan awal CAD$4 bilion seminggu mulai akhir April 2021. Gabenor BoC Macklem juga berkata bahawa mereka akan mengekalkan kadar faedah yang rendah sehingga yakin ekonomi kembali kukuh.

Meskipun BoC dilihat agak positif (hawkish) pada mesyuarat April lepas, para pelabur agak bimbang dengan kemungkinan BoC akan mengubah intonasi mereka pada mesyuarat 9 Jun ini. Ia berikutan data sektor buruh Kanada yang kurang baik di mana ia mencatatkan pengurangan pekerjaan sebanyak 207 ribu orang pada April diikuti 68 ribu orang kehilangan kerja pada Mei. Manakala kadar pengangguran meningkat kepada 8.2% pada Mei berbanding 7.5% yang dicatat pada Mac 2021. Kemungkinan BoC mengubah intonasi mereka adalah sangat tipis tetapi sebarang keadaan luar jangka tidak boleh diketepikan. Data KDNK suku pertama Kanada turut gagal menepati unjuran konsesus dimana ia mencatatkan perkembangan ekonomi sebanyak 5.6% (konsesus 6.7%), dengan data daripada suku sebelum turut disemak rendah kepada 9.3% (data sebelum semakan 9.6%). Justeru itu, BoC dijangka tidak akan merubah kadar faedah tetapi sebarang komen daripada BoC berkenaan dengan ekonomi dijangka memberikan volatiliti kepada pasaran.

USDCAD terus kekal dalam trend menurun sejak 15 bulan lepas di mana USDCAD telah menyusut 18% sejak paras tertinggi Mac 2020.

Secara fundamental, USDCAD dijangka tertekan ke bawah berikutan perbezaan polisi matawang diantara kedua-dua Bank Pusat dimana FED masih lagi dalam intonasi dovish manakala BoC mula kelihatan sedikit hawkish. Para pelabur masih lagi belum mendapat sebarang pemangkin (sebarang kenyataan hawkish daripada FOMC FED) untuk kemungkinan kenaikan semula USDCAD. Sumber Goldman Sach turut dilaporkan berkata bahawa risiko untuk kelemahan CAD adalah terhad meskipun data ekonomi Kanada sedikit lemah pada suku ke-2 2021. Para penganalisis di ING turut melihat BoC akan sedikit neutral pada mesyuarat polisi Jun (tiada kejutan) dan mereka dijangka akan memotong peruntukan QE mingguan pada mesyuarat Julai.

Dari sudut analisis antara pasaran (Intermarket), pengukuhan harga komoditi dan harga minyak WTI (USOil) dijangka akan terus menyokong kekuatan CAD dimana 11% daripada KDNK Kanada disumbangkan daripada komoditi dan minyak. Dinamik diantara harga minyak dan CAD dijangka terus kekal seiring buat masa terdekat.

Momentum USDCAD dijangka terus menurun dengan paras 1.2000 menjadi support penting untuk Bull bertahan. Sekiranya paras ini ditembusi, ia akan membuka ruang untuk USDCAD diagang di bawah paras 1.2000 buat kali pertama sejak Mei 2015. Meskipun begitu, USDCAD juga mungkin akan bergerak dalam keadaan mendatar buat masa terdekat di antara 1.2000 – 1.2150. Dengan data inflasi US pada minggu ini mungkin dapat menahan kejatuhan USDCAD pasca mesyuarat BoC.

Belajar Berdagang Secara Percuma Setiap Isnin dan Selasa

Klik Di Sini Untuk Sertai

Tunku Ishak Al-Irsyad

Market Analyst

HF Educational Office – Malaysia

Penafian: Bahan yang digunakan dalam pembentangan ini adalah untuk kegunaan pemasaran umum sahaja. Ia tidak melibatkan sebarang kajian perlaburan. Ianya tidak boleh dianggap sebagai nasihat perlaburan, cadangan perlaburan atau nasihat jual-beli sesuatu instrument kewangan. Sila ambil maklum bahawa informasi mengenai data yang lalu tidak boleh  dianggap jaminan untuk data akan datang. Anda juga mengakui bahawa sebarang perlaburan dalam produk berleverage mempunyai risiko yang tinggi terhadap modal anda. Sila pastikan anda memahami sepenuhnya risiko yang terlibat dan Pihak kami tidak bertanggungjawab di atas sebarang kerugian atau keuntungan daripada perlaburan yang diambil berasaskan informasi dalam pembentangan ini. Informasi yang terkandung dalam pembentangan ini tidak dibenarkan diterbitkan atau disebarkan tanpa kebenaran bertulis daripada pihak kami.